Friday 24 June 2011

Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing Dan Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P)

  1. Mesyuarat Khas JKKPA-PATI yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Haji Muhyiddin Hj Mohd Yassin yang diadakan semalam telah memutuskan bahawa sebuah pakej program yang menggabungkan beberapa syor yang dikemukakan oleh MPWA iaitu Program Penyelesaian Menyeluruh Terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau singkatannya Program 6P akan mula dilaksanakan berkuatkuasa 11 Julai 2011 sebagai pendekatan terkini oleh Kerajaan untuk memantapkan pengurusan warga asing di Malaysia.
  2. Menerusi program ini, PATI akan digesa untuk tampil membuat pendaftaran di mana-mana lokasi pendaftaran yang telah ditetapkan Kerajaan, dan seterusnya menyerahkan data maklumat peribadi mereka bagi dipertimbangkan untuk proses pemutihan (ditukar status menjadi pekerja sah). Bagaimanapun, tawaran untuk tampil bagi proses pendaftaran ini hanya akan dilaksanakan dalam tempoh terhad selama dua minggu, sebelum setiap maklumat diproses serta dipertimbangkan untuk tujuan kelulusan pemutihan. Selain itu, Program 6P ini juga pada masa sama menjadi platform terakhir bagi setiap majikan di Negara ini untuk mendaftarkan pekerja asing tanpa izin mereka secara sah – sebelum program penguatkuasaan secara bersepadu dilaksanakan Kerajaan secara besar-besaran.
  3. Antara rasional Program 6P ini dilaksanakan adalah untuk tujuan mendapatkan anggaran statistik jumlah PATI yang berada di Malaysia, selain mengumpul maklumat peribadi mereka termasuklah data biometrik (cap 10 jari tangan kanan dan kiri). Menerusi program 6P ini, Kerajaan akan mengenalpasti keperluan jumlah pekerja yang diperlukan setiap sektor yang dibenarkan mengambil pekerja asing di Negara ini. Dengan berdasarkan data yang ada, jumlah kekosongan itu akan diisi oleh PATI yang berdaftar menerusi Program 6P ini, sekali gus membekukan pengambilan terus sumber baru pekerja asing dari luar negara bagi tempoh tersebut. Justeru, Program 6P ini secara rasionalnya bertujuan memantapkan pengurusan warga asing di negara ini, membantu mengawal kemasukan baru pekerja asing ke negara ini, membantu pengurusan aktiviti ekonomi Negara ini dan membantu mengawal perkembangan jenayah di Negara ini.
  4. Program 6P ini melibatkan enam peringkat iaitu PENDAFTARAN, PEMUTIHAN, PENGAMPUNAN, PEMANTAUAN, PENGUATKUASAAN dan PENGUSIRAN.
  5. Peringkat pertama iaitu PENDAFTARAN dilaksanakan untuk tujuan mendaftarkan PATI di Malaysia, dan menerusi kaedah ini, Kerajaan berpeluang mendapatkan maklumat majikan PATI, selain rekod peribadi serta data biometrik PATI yang merupakan elemen teras bagi rasional pelaksanaan program ini. Tindakan ini selari dengan inisiatif Kerajaan untuk mewujudkan pangkalan data komprehensif bagi setiap warga asing di Malaysia, sekali gus membolehkan proses pemantauan dilaksanakan secara lebih berkesan, termasuklah usaha membabitkan penyelesaian dalam menangani isu pemalsuan identiti serta dokumen yang selama ini mudah dipalsukan akibat tiada rekod biometrik.
  6. Peringkat kedua adalah PEMUTIHAN iaitu proses yang berfungsi untuk menyaring setiap PATI yang berdaftar menerusi program ini dan seterusnya mengenal pasti jika wujud keperluan untuk mengekalkan mereka dalam sektor tertentu yang mempunyai penawaran kekosongan kerja membabitkan pekerja asing. Jika hasil pertimbangan mendapati PATI yang terbabit sesuai untuk mengisi kekosongan tersebut, maka mereka akan diputihkan dan seterusnya dijadikan pekerja asing yang sah dengan senarai majikan yang berdaftar. Bagaimanapun, proses pemutihan ini hanya akan dipertimbangkan untuk sektor serta negara sumber yang tersenarai dalam dasar penggajian pekerja asing dan yang pernah diberikan kebenaran khas kerajaan termasuk sub-sektor yang sedang dibekukan. Pada masa yang sama, proses pemutihan ini juga akan mengambil kira kelayakan majikan berdasarkan keperluan semasa mengikut sektor dan sub-sektor yang akan ditentukan oleh kementerian/agensi kawal selia.
  7. Seterusnya ialah peringkat ketiga iaitu PENGAMPUNAN di mana PATI yang tidak tersenarai untuk diputihkan, atau PATI yang secara sukarela memilih untuk pulang ke negara asal mereka masing-masing akan diampun dan dibenarkan pulang atas kos sendiri tanpa dikenakan sebarang bentuk tindakan. Bagaimanapun, pengampunan ini hanya terhad kepada PATI yang melakukan kesalahan imigresen sahaja.
  8. Peringkat keempat ialah PEMANTAUAN yang akan dilaksanakan sebelum operasi penguatkuasaan bersepadu terhadap PATI dilaksanakan secara besar-besaran di seluruh Negara. Inisiatif ini akan digerakkan menerusi naziran ke premis-premis majikan untuk memberi nasihat selain pada masa sama menerangkan implikasi tindakan undang-undang sekiranya didapati melindungi pekerja berstatus PATI yang tidak berdaftar dengan Program 6P. Antara lain, majikan serta PATI yang berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 (Pindaan 2010) dan Akta Imigresen 1959/63 yang boleh membawa kepada hukuman denda sehingga RM1 juta.
  9. Peringkat kelima iaitu PENGUATKUASAAN adalah peringkat di mana satu operasi penguatkuasaan bersepadu akan dilaksanakan secara besar-besaran dan digerakkan dengan tujuan untuk mengesan serta menangkap PATI serta majikan yang dikenal pasti masih melakukan kesalahan imigresen.
  10. Peringkat keenam dan terakhir adalah PENGUSIRAN PATI yang telah ditangkap melalui operasi penguatkuasaan bersepadu bagi dikenakan tindakan undang-undang sebelum diusir keluar dari Negara ini. Oleh kerana kos bagi proses pengusiran ini ditanggung menggunakan peruntukan Kerajaan, maka setiap PATI yang diusir akan turut sama disenaraihitamkan daripada kebenaran untuk masuk semula ke negara ini.
  11. Peringkat pertama Program 6P iaitu Pendaftaran akan mula dilaksanakan berkuatkuasa pada 11 Julai 2011. Susulan daripada itu, Kerajaan akan melantik sejumlah syarikat dan persatuan pengurus sebagai ejen pelaksana. Pelantikan akan dibuat melalui penilaian terhadap syarikat-syarikat yang telah memohon secara rasmi kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagaimana iklan tawaran yang dipaparkan di laman sesawang KDN pada 7 hingga 10 Jun 2011. Pemilihan syarikat dan persatuan yang akan bertindak sebagai ‘Syarikat Pengurus’ ini diputuskan sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai 17 wakil daripada pelbagai bahagian di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Sumber Manusia (KSM), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pemilihan dibuat berdasarkan syarat serta kriteria yang telah ditetapkan. Sehingga tarikh akhir iklannya dibuka kepada umum, sejumlah 1,390 permohonan diterima. Syarikat serta persatuan yang berjaya akan dimaklumkan dalam masa terdekat dan akan diberikan sijil pelantikan khas yang dilengkapi beberapa ciri keselamatan khusus untuk berfungsi sebagai bukti syarikat tersebut dilantik Kerajaan sebagai ejen sah bagi pelaksanaan 6P.

Wednesday 15 June 2011

Kenyataan Media Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen

Kerajaan melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin (JKKPA-PATI) telah memutuskan untuk melaksanakan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing Tanpa Izin. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk memantapkan pengurusan warga asing di Malaysia.
Sehubungan itu, Kerajaan mengalu-alukan penyertaan daripada syarikat, persatuan dan pertubuhan yang berminat untuk menjadi wakil bagi menguruskan proses pendaftaran yang akan dilaksanakan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. Pihak yang berminat perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan. Maklumat lanjut dan borang permohonan boleh didapati melalui laman web Kementerian Dalam Negeri : www.moha.gov.my. Tarikh tutup permohonan ialah pada hari Jumaat, 10 Jun 2011.
Antara kriteria yang ditetapkan adalah syarikat yang mempunyai pengalaman dalam bidang pengurusan sumber manusia dan pekerja asing. Bagi persatuan dan pertubuhan pula, selain berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia, tawaran hanya dihadkan kepada persatuan/pertubuhan yang melibatkan majikan sahaja.
Selain memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan, proses pemilihan yang akan dikendalikan oleh sebuah Jawatankuasa Khas yang diwakili oleh pelbagai kementerian dan agensi berkaitan juga akan membuat tapisan secara ketat. Ini melibatkan penilaian yang konsisten dengan syarat serta keperluan dan secara adil dan telus. Pemilihan juga akan mengambil kira rekod syarikat/persatuan/pertubuhan yang akan merujuk kepada data daripada pelbagai agensi berkaitan.
KDN memberi amaran dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang telah disenaraihitam dan didapati mempunyai penglibatan dalam kes-kes penipuan dan pengutipan wang tanpa kebenaran yang sah. Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga sedang membuat siasatan dan pemantauan terhadap aduan dan kes berkaitan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati bersalah untuk mengelakkan sebarang penganiyaan dan manipulasi terhadap mana-mana pihak sama ada majikan atau para pekerja asing. Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap kegiatan yang boleh menjejaskan pelaksanaan program ini sekali gus menjejaskan imej Negara.

LATAR BELAKANG PROGRAM PENYELESAIAN MENYELURUH PEKERJA ASING TANPA IZIN (PROGRAM 6P)
  • Program ini dilaksanakan melalui pewujudan sistem pendaftaran pendatang asing tanpa izin yang merangkumi pengambilan biometrik semua pendatang asing tanpa izin di Malaysia.
  • Program ini membabitkan enam pelan tindakan seperti berikut:
  1. Pendaftaran pendatang asing tanpa izin (PATI);
  2. Pemutihan PATI;
  3. Pengampunan PATI;
  4. Pemantauan PATI;
  5. Penguatkuasaan PATI;
  6. Pengusiran PATI;
  • Objektif program:
  1. Untuk mengumpul data jumlah pendatang asing tanpa izin di Malaysia;
  2. Untuk mendapatkan jumlah pendatang asing tanpa izin yang bekerja dalam sektor yang dibenarkan mengambil pekerja asing di Malaysia;
  3. Untuk memberi peluang kepada pendatang asing tanpa izin di Malaysia pulang ke negara asal tanpa dikenakan tindakan (terhad dalam tempoh dibenarkan yang akan diputuskan Kabinet);
  4. Untuk menyalurkan khidmat nasihat kepada pendatang tanpa izin serta majikan yang berkaitan mengenai kesalahan Imigresen;
  5. Untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang yang bertujuan mengurangkan bilangan pendatang tanpa izin di Malaysia;

DATO’ ZAITUN AB. SAMAD
SETIAUSAHA BAHAGIAN HAL EHWAL IMIGRESEN,
KEMENTERIAN DALAM NEGERI (KDN)