Friday 8 July 2011

Berita Terkini

 

Penjadualan Semula Tarikh Pembukaan Kaunter Pendaftaran Bagi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P)

8 July 2011
  1. Kerajaan membuat keputusan untuk menjadualkan semula tarikh pembukaan kaunter-kaunter pendaftaran bagi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin atau singkatannya Program 6P yang sebelum ini ditetapkan pada 11 Julai 2011 kepada satu tarikh yang ditetapkan kelak.
     
  2. Penjadualan semula ini dibuat bertujuan untuk membolehkan proses latihan intensif diberikan kepada lebih 5,000 petugas yang terdiri daripada pegawai Imigresen dan pekerja sambilan yang mewakili syarikat-syarikat pengurus yang dilantik. Tindakan ini dibuat susulan daripada keputusan kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak kaunter pendaftaran sama ada di pejabat-pejabat Imigresen mahupun yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat pengurus di seluruh Semenanjung Malaysia untuk mempermudah dan mempercepatkan proses pendaftaran.
     
  3. Berhubung dengan isu para pekerja yang dilaporkan lari daripada majikan yang sah dengan tujuan untuk terlibat dalam proses pemutihan melalui majikan yang lain, Kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan pekerja asing yang terlibat untuk diputihkan sungguhpun telah didaftarkan. Sehubungan itu, adalah dinasihatkan agar pekerja asing yang sah dan memiliki permit kerja yang masih mempunyai tempoh sah laku yang didakwa telah melarikan diri agar kembali kepada majikan asal. Pihak Jabatan Imigresen Malaysia akan menyemak rekod setiap PATI sebelum proses pemutihan dilaksanakan kerana inisiatif ini hanya terbuka kepada pekerja asing tanpa izin.

DATUK ALWI HJ IBRAHIM
Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan)
Sektor Dasar Imigresen dan Pendaftaran Negara
Kementerian Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment