Wednesday 13 July 2011

Kenyataan Akhbar Y.B. Dato’ Lee Chee Leong Timbalan Menteri Dalam Negeri Program 6P

  1. Sejumlah 348 syarikat dan persatuan yang ditawarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah bersetuju menerima syarat tawaran untuk dilantik sebagai syarikat pengurus bagi membantu proses pendaftaran dan pemutihan dalam Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin atau Program 6P.
     
  2. Kesemua syarikat dan persatuan tersebut  telah dipanggil menghadiri taklimat khas dan dimaklumkan tentang fungsi serta syarat-syarat yang perlu dipatuhi sepanjang bertindak sebagai rakan pengurus bagi program ini. Jumlah 348 syarikat dan persatuan ini telah terpilih daripada sejumlah 1,390 permohonan melalui saringan yang dikendalikan sebuah jawatankuasa khas yang bersidang dua kali pada 13 Jun dan 6 Julai lalu.
     
  3. Jawatankuasa Khas Pemilihan ini dianggotai 17 wakil dari pelbagai bahagian dan kementerian, terdiri daripada KDN, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Sumber Manusia (KSM), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
     
  4. Pada masa yang sama, Kerajaan juga telah menghadkan kadar maksimum caj perkhidmatan yang boleh ditetapkan oleh syarikat-syarikat pengurus yang dilantik untuk mengelakkan sebarang unsur manipulasi dan penetapan kadar yang tidak munasabah. Kadar maksimum yang ditetapkan adalah RM35 bagi proses pendaftaran dan bagi peringkat seterusnya iaitu proses pemutihan, caj perkhidmatan maksimum adalah RM300. Para majikan atau individu tidak perlu membayar caj-caj ini sekiranya berurusan secara langsung dengan pihak JIM.
     
  5. Namun begitu, untuk peringkat kedua iaitu pemutihan, setiap majikan perlu untuk membuat beberapa pembayaran bagi setiap pekerja yang diberikan permit kerja secara sah. Bayaran untuk perkara-perkara wajib ini antaranya adalah bayaran levi dan bon jaminan mengikut kadar yang ditetapkan mengikut sektor dan negara asal, caj Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan insurans.
     
  6. Majikan adalah dinasihati tidak membuat sebarang pembayaran pada masa kini kepada mana-mana pihak sehinggalah tarikh rasmi bagi setiap proses diumumkan. Sebagaimana yang telah diumumkan oleh YAB. Timbalan Perdana Menteri, Kerajaan telah bersetuju untuk menjadualkan semula tarikh pembukaan kaunter pendaftaran Program 6P. Ini disebabkan beberapa faktor, antaranya keperluan untuk membuat latihan intensif kepada seramai lebih 5,000 petugas yang akan terlibat, selain kita sedang menyediakan mekanisme untuk menangani isu terdapat pekerja asing yang sah kini mula lari dari majikan asal untuk terlibat dalam Program 6P dengan mencari majikan baru yang boleh menawarkan gaji yang lebih lumayan.
     
  7. Dalam isu ini, Kerajaan telah memutuskan untuk tidak membenarkan pekerja asing yang terlibat untuk diputihkan sungguhpun telah didaftarkan. Sehubungan itu, adalah dinasihatkan agar pekerja asing yang sah dan memiliki permit kerja yang masih mempunyai tempoh sah laku yang didakwa telah melarikan diri agar kembali kepada majikan asal. Pihak Jabatan Imigresen Malaysia akan menyemak rekod setiap PATI sebelum proses pemutihan dilaksanakan kerana inisiatif ini hanya terbuka kepada pekerja asing tanpa izin.
     
  8. Pada masa yang sama, Kerajaan juga akan memberikan maklumat lengkap berhubung setiap proses termasuk senarai syarikat pengurus yang dilantik, lokasi-lokasi kaunter pendaftaran, cara dan kaedah pendaftaran serta maklumat-maklumat lain melalui media massa dan laman web Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam masa terdekat. Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada sekretariat program di Bahagian Hal-Ehwal Dalam Negeri, KDN.

No comments:

Post a Comment